Aku copy dan paste...
MATI itu pasti! Kenyataan yang sememangnya tidak dapat dielakkan lagi sejak ALLAH meniupkan roh ketika manusia itu bergelar janin seawal usia tiga bulan kerana tidak ada yang mustahil bagi-Nya.
Bayangkan kain putih menutupi sekujur badan? Bayangkan apakah perasaan kalian sebaik ditinggalkan keseorangan dalam liang yang dalamnya tujuh kaki dengan hanya ditemani kegelapan.? Matinya anak Adam itu, maka terputuslah dia melainkan dengan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh.
SETIAP manusia pasti menghadapi kematian hatta nabi dan rasul sekalipun. Tiada seorang pun terlepas daripada merasainya. Kematian adalah ujian dan dugaan besar kepada manusia dan perlu ditempuhi dengan reda.
Firman ALLAH SWT bermaksud: Kematian melatih manusia bersifat sabar dan reda dengan qadak dan qadar ALLAH.
(Surah al-Maidah ayat 106)
Rehal bersama Ketua Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Faisal Ahmad Shah, 40, mengupas apa itu kematian yang semakin hari mendekati setiap makhluk ciptaan Ilahi.
MATI ITU MAKHLUK
Kematian tidak mempunyai peringkat atau tingkatan. Bahkan jika ALLAH telah menetapkan kematian seseorang maka tiada suatu pun yang akan melewatkannya atau mendahulukannya. Firman ALLAH bermaksud: Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya pasti akan menemui kamu.
(Surah al-Jum’ah ayat 8)
Faisal berpandangan, kenyataan mengenai kematian berbeza dengan pemikiran falsafah yang menganggap tidak ada sesuatu kejadian dinamakan kematian. Dalam erti kata lain mereka menganggap kematian bukan sesuatu yang dijadikan.
“Sebaliknya terdapat penceritaan daripada Nabi Muhammad SAW bagaimana kematian diubah menjadi seekor kibas pada hari kiamat membuktikan bahawa kematian itu adalah makhluk.
“Dalam riwayat Sahih al-Bukhari ada menyebutkan bagaimana kematian itu dibawa ke hadapan ahli syurga dan ahli neraka kemudian disembelih sebagai suatu simbolik bahawa tiada lagi kematian selepas itu. Baginda bersabda: “Jika telah masuk ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka akan didatangkan kemudiannya kematian seperti kibas lalu berhenti di antara syurga dan neraka lalu dikatakan: wahai ahli syurga adakah kamu kenal siapakah ini? Mereka meninggikan leher mereka untuk melihat dan berkata Ya. Itu adalah kematian. Kemudian dikatakan kepada ahli neraka wahai ahli neraka adakah kamu kenal siapakah ini? Mereka meninggikan leher mereka untuk melihat dan berkata Ya. Itu adalah kematian. Lalu kibas itu disembelih antara syurga dan neraka kemudian dikatakan: wahai ahli syurga kekal tiada lagi kematian dan dikatakan wahai ahli neraka kekal tiada lagi kematian,” ulas Faisal.
Menurutnya, peristiwa mengenai kematian itu menambahkan lagi kegembiraan ahli syurga dan meningkatkan lagi penderitaan ahli neraka.
Perubahan kematian daripada satu bentuk kepada bentuk lain bukanlah perkara pelik bagi ALLAH, terutamanya pada hari kiamat. ALLAH mengubah amalan soleh hamba itu semasa di dunia kepada bentuk pemuda kacak pada hari kebangkitan nanti. Begitulah sebaliknya, ALLAH turut mengubah amalan buruk seseorang semasa di dunia kepada pemuda yang hodoh pada hari pembalasan. Sabda Rasulullah bermaksud, “sesungguhnya amalan seseorang hamba itu akan datang kepadanya dalam bentuk seorang pemuda cantik dan amalan buruk dengan seburuk gambaran.
Faisal berkata, berdasarkan kajian perubatan, kematian yang sebenar ialah kematian otak. Jika otak mati dan tidak berfungsi maka bermulalah kematian seseorang itu walaupun jantungnya masih berdenyut.
“Islam menganggap kematian ialah apabila terputus pergantungan roh dengan tubuh badan. Menurut Imam al-Qurtubi dalam bukunya al-Tazkirah. Kematian membuktikan terputusnya hubungan roh dengan tubuh badan manusia dan berlakunya perpisahan antara kedua-duanya. Apabila berlaku kematian akan terjadi perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain dan berlakunya perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.
SAAT YANG MENYAKITKAN
“Kematian antara isu yang banyak unsur tahyul dan kurafat dalam kalangan masyarakat, soalan biasa akan ditanya kepada waris adakah si mati menunjukkan tingkah laku pelik sebelum matinya.
“Segelintir masyarakat percaya bahawa roh akan kembali untuk melihat keluarganya atau merayau di tempat kematiannya. Begitu juga ada yang beranggapan roh orang mati dibunuh akan mencari pembunuhnya dan kepercayaan sebegini merosakkan akidah umat Islam memandangkan ia berasal daripada kepercayaan karut masyarakat jahiliah sebelum Islam," katanya.
Masyarakat jahiliah menganggap roh orang dibunuh akan muncul pada malam hari dalam bentuk burung dengan menyeru “berilah aku minum daripada darah pembunuhku. Keadaan ini akan berterusan sehinggalah dendam terbalas. Masyarakat jahiliah menamakan burung itu sebagai al-Hamah.
Saat menghadapi sakaratul maut paling menyeksa dan menakutkan. Tidak ada seorang pun dapat melepaskan diri daripada kesakitan itu. Malah jika disuntik dengan ubat penahan sakit pun tidak terdaya menghilangkan sakitnya sakaratul maut.
Aishah menceritakan kesakitan Rasulullah ketika menghadapi saat kewafatannya, “Aku melihat Rasulullah ketika nazak di sisinya bekas mengandungi air. Baginda kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas tersebut kemudian menyapu mukanya dengan air dan bersabda: Ya ALLAH ya Tuhanku bantulah aku dalam menghadapi kesakitan mati.
(Hadis Imam al-Tirmizi sebagai gharib manakala Syeikh al-Albani menghukumkannya sebagai daif)
BEZA ORANG BERIMAN, KAFIR
“Bayangkan jika kekasih ALLAH turut merasai kesakitan sakaratul maut apatah lagi kita insan biasa yang penuh dengan dosa dan maksiat kepada ALLAH. Namun terdapat riwayat yang menceritakan mengenai perbezaan antara kematian orang beriman dan kafir.
“Sesungguhnya seorang hamba Mukmin ketika hampir terputus kehidupannya daripada dunia dan menghadapi akhirat, malaikat daripada langit akan turun kepadanya dalam keadaan putih wajahnya seolah-olah wajahnya seperti matahari, bersama mereka kain kafan dan wangian daripada syurga sehingga malaikat duduk berdekatan dengan hamba sejauh mata memandang. Kemudian malaikat maut datang kepadanya lalu duduk di tepi kepala dan berkata: Wahai jiwa yang baik keluarlah kepada keampunan dan keredaan ALLAH. Lalu roh pun keluar sebagaimana keluarnya titisan air daripada mulut bekas kemudian diambil oleh malaikat,” katanya.
Menurutnya, situasi berbeza dengan orang kafir, di mana riwayat menyebut bagaimana malaikat yang hitam wajahnya akan turun, kemudian datang malaikat maut lalu berkata: Wahai jiwa yang kotor keluarlah menghadap kemarahan dan kebencian ALLAH lalu nyawanya ditarik dan disentak seperti sentakan sesuatu daripada bulu yang basah.
Walaupun keadaan itu tidak disaksikan melalui pancaindera dan tidak dibuktikan dengan kajian saintifik, namun sebagai orang beriman kita dituntut untuk mempercayai dan mengimaninya. Bersyukurlah dengan nikmat iman dan Islam kurniaan ALLAH kepada setiap hamba-Nya.
No comments:
Post a Comment